Masihkah Kau Bermain Seruling & Aku Sepatutnya Malu Menulis Surat Cinta Kepadamu karya Zurina Hassan pernah jugak aku baca di majlis bacaan puisi. sayang aku tak pandai menulis... cuma mampu berkongsi rasa melalui deklamasi.. interpretasi mungkin berbeza tapi sebaik-baiknya aku cuba untuk menghampiri jiwa pemuisi, menjadikan luahan si penulis terzahir pada pendengaran....
Aku Sepatutnya Malu Menulis Surat Cinta Kepadamu
nukilan Zurinah Hassan
Aku sepatutnya malu menulis surat cinta pada
kerana ia tidak mungkin jadi sempurna
dan setelah terlalu banyak mengingkari-Mu
Kau mungkin tidak sedia menerima.
Mengapa harus aku tiba pada-Mu
bagai seekor kupu-kupu yang meninggalkan rimbanya
keragaman rahsia yang mentaati kata-kata
"tidak kuberi ilmu
melainkan sedikit sahaja"
aku jadi marah pada ketetapan itu
dan meluru menuju lampu
tapi hanya terhumban pada kaca
lalu jatuh ke kaki-Mu
apakah kau sedia memaafkan
carik-carik di kepakku?
Atau apakah kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpegun
pada kesempurnaan jari-jari-Mu?
Mengapa aku harus tiba pada-Mu
bagai sungai yang menemui muaranya
dalam murung rasa tua
setelah terlalu banyak meronta
mahu melepaskan diri dari sekatan tebingnya
tapi hanya menambahkan bebanan
sehingga tiba ada keluasan lautmu
apakah Kau sedia memaafkan
kekeruhan di tubuhku?
Atau apakah kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpesona
pada kejernihan matamu?
Kau terlalu banyak menyimpan keindahan
mengapakah aku tidak melihatnya dahulu
atau apakah Kau sengaja menyembunyikan
supaya aku jadi lebih kasih pada-Mu?
Mingguan Malaysia
1976
Masihkah Kau Bermain Seruling
masihkah kau bermain seruling
walau waktu telaah terlewat untuk kita bercinta
aku semakin terasa bersalah
melayani godaan irama
lagu yang tersimpan pada lorong halus buluh
dikeluarkan oleh nafas seniman
diukir oleh bibir
diatur oleh jari
dilayangkan oleh alun angin
menolak ke dasar rasa.
masihkah kau bermain seruling
ketika kampung semakin sunyi
sawah telah uzur
waktu jadi terlalu mahal
untuk memerhatikan hujan turun
merenung jalur senja
mengutip manik embun
menghidu harum bunga.
masihkah kau bermain seruling
ketika aku terasa mata bersalah
untuk melayani rasa rindu padamu
di kota yang semakin kusut dan tenat
adik-adikku menganggur dan sakit jiwa
bangsaku dipecahkan oleh politik
saudara diserang bom-bom ganas
dunia sudah terlalu tua dan parah.
Di sinilah berakhirnya percintaa kita
kerana zaman sedang menuntut para seniman
hidup di luar dirinya.
Shah Alam, 1987
harapan... alangkah baiknya jika aku juga dikurniakan kebolehan memindah rasa hati melalui pena.... terlalu banyak yang bakal diperkatakan... (hmmm.. manusia x akan pernah puas dengan kelebihan yang dimiliki...)
No comments:
Post a Comment